Bagi melaksanakan kegiatan pembangunan pendidikannya, Yayasan Sarawak
menyediakan pelbagai skim bantuan pendidikan sama ada dalam bentuk pinjaman
atau biasiswa dan kemudahan pendidikan serta menganjurkan pelbagai program
dan projek pendidikan sebagai pemangkin kepada pembangunan pendidikan di
Negeri Sarawak.
Kegiatan ini merupakan usaha menggalakkan peningkatan kualiti pendidikan
dalam memenuhi tuntutan masyarakat berilmu menerusi penglibatan pelbagai
pihak mencakupi peringkat sekolah, Institusi Pengajian Tinggi, Jabatan
Pendidikan Sarawak, pusat-pusat latihan teknikal dan kemahiran serta masyarakat
umum keseluruhannya.
1. Seksyen Pendidikan Tinggi
Seksyen ini menyediakan pelbagai skim dan program yang bertujuan
membantu anak-anak Sarawak khasnya untuk melanjutkan pengajian serta membuat
persediaan selepas tamat pengajian. Dalam menjalankan aktiviti pendidikannya
di peringkat pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran dan teknikal,
Yayasan Sarawak telah merangka tiga bidang tugas utamanya iaitu :
i. Program Khidmat Bimbingan Pelajar
ii. Skim Bantuan Pendidikan
iii. Pungutan Bayaran Balik Pinjaman
2. Seksyen Pendidikan Rendah
Seksyen ini menyediakan pelbagai skim dan program yang bertujuan untuk
membantu para pelajar sekolah rendah dan menengah di Sarawak yang kurang
berkemampuan membiayai persekolahan mereka.
3. Seksyen Pendidikan Komuniti
Pendidikan Komuniti Yayasan Sarawak merupakan program berbentuk latihan
atau bimbingan yang berterusan bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran
serta menyemai sikap positif di kalangan masyarakat dari pelbagai lapisan
- pelajar, belia, ibu bapa, pemimpin masyarakat dan masyarakat umumnya.
Program ini bertujuan membantu mereka merealisasikan impian dan potensi
diri serta meningkatkan kualiti hidup agar menjadi masyarakat yang
berilmu dan berwawasan untuk maju dan berjaya dalam kehidupan.
4. Pusat Sumber Pendidikan
Pusat Sumber Pendidikan Yayasan Sarawak ditubuhkan pada 21 Mei 1996
dengan tujuan untuk menyediakan maklumat mengenai pendidikan kepada umum
khasnya para pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran masing-masing
dalam bidang tertentu di mana-mana institusi pengajian tinggi dalam atau
luar negeri.
5. Urusetia Program Pentauliahan Pendidikan Terdahulu
Pejabat urusetia ini diwujudkan pada 26 Julai 1998 khusus bagi perlaksanaan
Program Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT) bertujuan untuk menggalakkan
pekerja-pekerja mahir dan separuh mahir serta lepasan Institusi Teknikal
di Sarawak mempersijilkan ketrampilan dan pengalaman kerja serta mempertingkatkan
kelayakan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.
6. Sekretariat Yayasan Biasiswa Sarawak Tunku Abdul Rahman
Sejak 1994 Yayasan Sarawak telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus
perlaksanaan Skim Biasiswa Sarawak Tunku Abdul Rahman daripada Pusat Latihan
Negeri ketika itu. Yayasan Sarawak bertanggungjawab mengurus kewangan,
tawaran dan pemilihan pelajar yang layak menerima skim ini.
7. Sekretariat Tabung Amanah Bakun
Sekretariat ini diletakkan di Pejabat Yayasan Sarawak untuk memudahkan
koordinasi bantuan kewangan kepada mereka yang layak .
8. Usahasama Pendidikan
Selari dengan visi serta misi Yayasan Sarawak, dua institusi yang berorientasikan
program-program teknikal telah ditubuhkan di Sarawak. Langkah ini akan
memberikan peluang kepada para pelajar yang berkecenderungan teknikal dan
tidak dapat memasuki institusi pengajian yang berorientasikan bidang akademik
mendapatkan pembelajaran mereka.
a) Curtin
University of Technology Sarawak
-
Kampus Sarawak
-
Kampus menawarkan program yang merangkumi pra universiti dan ijazah serta
pengajian lanjutan. Kampus ini juga menawarkan teknologi informasi yang
terkini dan para Pelajar diberikan akses kepada bahan kursus serta sumber
akademik daripada Curtin University of Technology, Kampus Bentley di Australia
Barat.
b) Swinburne
Sarawak Institute Of Technology (SSIT)
-
SSIT, Kampus Sarawak
-
SSIT sebagai rakan usahasama dengan Yayasan Sarawak. Penubuhan SSIT ini
adalah untuk mendedahkan para pelajar kepada dunia luar serta peluang-peluang
pekerjaan dan pembelajaran yang disajikan. Pada Ogos 2000, kampus ini telah
menerima seramai 130 orang pelajar sebagai kemasukan sulungnya bagi mengikuti
kursus peningkatan kemahiran serta program ijazah.